Empayar Uthmaniyyah
Empayar Turki Uthmaniyyah (Turki Uthmaniyyah: Devlet-i Aliye-i Osmaniye; Turki Moden: Osmanlı İmparatorluğu; Arab: الدولة العثمانية, al-Dawlaṭ al-'Uthmānīyyaṭ) keluarga Bani Osmani ini adalah sebahagian kecil dari keseluruhan suku-suku bangsa Turki yang dikenali sebagai bangsa Turki yang masuk ke Asia Kecil semenjak abad ke sebelas yang lalu. Bangsa ini adalah pemimpin-pemimpin yang terus-menerus berjuang menentang Byzantine, terutama setelah mereka bergerak ke barat laut Anatolia di abad ke-13. Pengikut-pengikutnya direputasikan sebagai ghazi atau lebih mudah dikenali sebagai parajurit yang berjuang memerangi Kristian kerana jihad untuk menegakkan Islam, dan mengecapi kejayaan. Di sinilah wujudnya empayar atau kerajaan Uthmaniah, yang menampung kerajaan-kerajaan kecil bangsa Turki yang lain. Pemerintah Uthmaniyyah melihat diri mereka sebagai "pemerintah universal" dan waris kepada Empayar Rom dan Islam, maka terjadilah "penyatuan kebudayaan".[7]
Pada tahun 1357 mereka menyeberangi Dardanelles menuju ke semenanjung Gallipoli dan sebelum akhir abad ke-14 mereka telah menduduki beberapa kawasan dibawah kerajaan Byzantine, termasuk Greece dan Bulgaria. Constantinople (kemudian ditukar nama kepada Istanbul) jatuh ke tangan kerajaan Uthmaniyyah pada tahun 1453. Pada tahun 1526 sebagian besar wilayah Hungary telahpun berada di bawah kekuasaan Uthmaniyyah. Kerajaan Uthmaniyyah mempunyai angkatan laut yang handal di Lautan Tengah dan melaksanakan tugasnya dalam perang dengan Sepanyol dan kuasa-kuasa Eropah yang lain. Algeria segera mereka kuasai dan akhirnya menambahkan Tunisia sebagai wilayah kerajaan Uthmaniyyah. Uthmaniyyah juga melanjutkan peluasan kuasanya dengan menuju ke bahagian tenggara, menduduki Iraq dan bahagian-bahagian wilayah Arab yang lain. Bagi bangsa Eropah Barat, kemajuan Uthmaniyyah merupakan keganasan Islam. Dengan ini mereka menegaskan bahawa Islam adalah agama kekejaman dan agama pedang yang menakutkan. Maka tidak hairanlah pada tahun 1542, Dewan Kota Praja Basel di Switzerland membekukan penerbitan terjemahan Al-Quran yang diterjemahkan oleh Robert dari Ketton. Dewan Kota Praja ini membantah dengan mengatakan "dongeng dan bid'ah yang dibuat-buat" dalam Al-Quran itu akan mengganggu penganut Kristian Pada akhir abad ke-17, kelemahan kerajaan Uthmaniyah mulai terserlah selepas satu setengah abad berkuasa. Pengepungan ke atas Vienna di tahun 1683 turut menemui kegagalan dan kerajaan Uthmaniah kini pula menghadapi Persekutuan dari Austria, Poland, Venice dan Paus, dan bangsa Rusia.
Semenjak tahun 1699 mereka telah banyak menemui kekalahan dan di dalam perjanjian damai Karlovitz, Uthmaniyyah harus mempersetujui penyerahan wilayah-wilayahnya kepada Austria, Vennice dan Poland. Walaupun demikian, mereka tetap mempertahankan hak mereka di bahagian tenggara Eropah, termasuk pantai barat dan utara Laut Hitam. Namun pada abad ke-19, kerajaan Uthmaniyyah kembali kehilangan sebahagian besar dari wilayah taklukkannya yang dimulai dengan kemerdekaan Greece pada tahun 1829 dan pendudukan Perancis ke atas Algeria pada tahun 1830. Kerajaan Uthmaniyyah menjadi "the sick man of Europe" iaitu Orang Eropah yang sakit dan hanya persaingan mereka inilah yang mencegah terjadinya perpecahan-perpecahan yang dahulunya pernah terjadi. Setelah kekalahannya dalam Perang Dunia I di tahun 1912-1919, semua wilayah ini masih tetap berada di bawah Kerajaan Uthmaniyyah, dengan wilayah Eropahnya adalah kawasan di sekitar Istanbul meluas sampai ke sebelah utara Edirne (Adrianople) dan ke barat sampai ke Gallipoli. Bangsa Turki di bawah kekuasaan Mustafa Kamal Ataturk telah menghapuskan nama Kerajaan Uthmaniyyah pada 1922 dan diganti dengan Republik Turki. Wilayah-wilayah jajahan di Asia dan Afrika dahulu telah hilang kecuali Anatolia yang masih berada di wilayah Republik Turki ini.
Sejarah
Wilayah Uthmaniyyah pada mulanya dikenali sebagai Beylik di dalam Kerajaan Turki Seljuk pada kurun ke-13. Pada tahun 1299, Uthman I mengisytiharkan kemerdekaan Wilayah Uthmaniyyah dan mengasaskan Kerajaan Turki Uthmaniyyah.Penubuhan dan Kemajuan (1299-1453)
Sultan Muhammad al-Fatih
Salah satu contoh terbaik untuk menunjukkan kemahiran mereka menyerang atau membuat pengepungan ialah semasa peristiwa penaklukan Constantinople (Istanbul) pada tahun 1453. Semasa serangan terbabit, meriam-meriam besar digunakan bagi memusnahkan tembok yang tinggi dan tebal. Meriam-meriam ini diperbuat daripada gangsa dan dibawa berdekatan dengan kota ini menggunakan banyak tenaga manusia disamping penggunaan kerbau dan lembu kerana berat yang melampau meriam-meriam ini. Meriam-meriam ini kemudiannya ditanam di sebelah hujung bagi menyerap tekanan letupannya. Seorang panglima Austria pernah berkata bahawa tentera Uthmaniyyah amat "kebal" semasa musim panas. Keterangan ini nyata benar memandangkan banyak kejayaan dicapai semasa kempen-kempen perangnya.